Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
3, 4, 5 penjuru untuk Dr M, Najib dan Kak Wan
Diterbitkan:  Apr 28, 2018 7:30 AM
â‹…
Dikemaskini: Apr 28, 2018 7:53 AM

LAPORAN LANGSUNG

  • Nawawi tak gentar 2,000 orang iringi Dr M
  • Anak Hadi lawan Raja Bahrin di Batu Burok
  • Cucu bekas TPM cabar Najib
  • SPR tolak pencalonan Tian Chua
  • Mohamad Hasan menang di Rantau
  • Calon PKR lega boleh tanding
  • Raja Bomoh bankrap, tak tanding
  • PKR tukar calon kerana alamat di MyKad
  • Guan Eng bidas SPR
  • Calon HARAPAN buat bantahan di seluruh negara
  • Papagomo tarik diri
  • Tiada kelibat Puad Zarkashi
  • Nik Omar hadir di pusat penamaan calon
  • Calon BN Bandar Tun Razak berjaya selesai masalah dokumen
  • Calon PKR lupa bawa MyKad

GALERI FOTO

Calon BERSATU Kepala Batas muflis, hilang kelayakan

1.10pm: Kepala Batas, Penang - Yaakob Osman, yang sepatutnya bertanding di DUN Penaga tidak layak bertanding kerana muflis.

“Kami sudah semak minggu lepas dan semalam. Tiada isu dan saya tidak dipanggil oleh sesiapa atau diisytihar muflis.

“SPR sudah memutuskannya, tiada apa oleh dibuat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Nawawi tak gentar 2,000 orang iringi Dr M

12.30pm: Langkawi - 
Dr Mahathir yakin menang di parlimen Langkawi

“Rasa Ok, ya (yakin menang),” katanya ringkas kepada pemberita di luar pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah, Langkawi.

Dr Mahathir akan berhadapan dengan calon BN Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad (PAS).

Dalam sidang media berlainan, Nawawi berkata beliau tidak gentar melihat lebih 2,000 penyokong Pakatan Harapan yang datang datang bersama pencabarnya Dr Mahathir.

Katanya, kesemua mereka itu tidak berasal dari Langkawi sebaliknya orang luar yang hanya memberikan sokongan kepada bekas perdana menteri 22 tahun itu.

Hadir sama memberi sokongan adik kepada Timbalan Presiden PKR, Ummi Hafilda Ali, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Kadir Jasin dan peguam Haniff Katri.

Di pihak BN pula, hampir seribu penyokong yang hadir bersama Ir Nawawi. Turut juga kelihatan bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Anak Hadi lawan Raja Bahrin di Batu Burok

12.50pm: Kuala Terengganu - 
SPR secara rasmi mengumumkan hanya tiga calon yang akan bertanding di parlimen Kuala Terengganu.

Pegawai SPR mengumumkan menerima borang pencalonan daripada Ahmad Amzad Mohamed (PAS), Wan Nawawi Wan Ismail (BN) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (PKR).

Selain Kuala Terengganu, DUN Batu Burok turut menjadi pertarungan sengit apabila PAS meletakkan anak presiden Muhammad Khalil Abdul Hadi melawan Raja Bahrin, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.

Zamri Awang Hitam dari BN turut bertanding di Batu Burok.

Kecoh pula mengenai MyKad calon BN

12.20pm: Bentong, Pahang - Kekecohan tercetus di pusat penamaan calon apabila calon-calon DAP mahu calon BN Ketari, Lau Hoi Keong menunjukkan MyKad.

Calon DAP, termasuk Wong Tack yang bertanding di Bentong, ingin mengetahui sama ada MyKad Lautertera alamat Pahang, yang merupakan syarat untuk layak bertanding di kerusi DUN Pahang.

Ini menyaksikan proses pencalonan yang lama sehingga memaksa Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob campur tangan.

Pegawai Pengurus SPR kemudiannya mengisytiharkan pencalonan Lau diterima tetapi tidak jelas sama ada beliau ada menunjukkan MyKadnya.

Lagi pencalonan wakil HARAPAN ditolak SPR

12.00pm: Pagoh, Johor - Seorang lagi pencalonan wakil HARAPAN dibatalkan kerana masalah dokumentasi. Calon BERSATU, Pizi Jihat yang bertanding di kerusi DUN Bukit Pasir, dilaporkan hilang kelayakan kerana masalah dokumentasi.

Dengan keputusan itu, DUN Bukit Pasir akan menyaksikan pertandingan langsung antara calon BN Noriah Mahat dan calon PAS Najib Lep.

11.55am: Langkawi / Pandan - Pegawai Pengurus Pilihan Raya SPR mengumumkan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Langkawi yang melibatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (HARAPAN), Datuk Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Nawawi adalah penyandang ahli parlimen Langkawi.

Di Pandan, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang adalah penyandang kerusi itu tidak akan bertanding kerana sabitan kesnya di mahkamah.

Pandan kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru. Mereka yang bertanding adalah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Leong Kok Wee (BN), Mohamed Sukri Omar (PAS), Jenice Lee Ying Ha (PRM) dan Mohd Khairul Azam Mohd Aziz (Bebas).

11.25am: Pekan, Pahang - Calon HARAPAN, Zahid Mat Arip yang adalah cucu kepada bekas timbalan perdana menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba adalah antara mereka yang bakal mencabar Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak di Pekan.

Selain Zahid, Kapten (B) Ahiatudin Daud mewakili PAS dan calon Bebas, Datuk Paduka Abd Kadir Sainudin juga akan bertanding.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pekan, Mohd Yusli Ibrahim Mohd Yunus di Padang Arena Mahkota di Pekan.

Pembantu Gan tanding di Rawang

11.40am: Rawang, Selangor - Bekas pembantu politik Gan Pei Nei, Azman Md Noor bertanding di kerusi DUN Rawang sebagai calon Bebas.

Dalam hantaran di Facebook, bekas ADUN Rawang dua penggal itu berkata dia tidak tahu bahawa Azman bercadang untuk bertanding dan terkejut dengan keputusannya.

"Saya tidak menyokong pencalonannya dan mendesaknya untuk menarik balik agar tidak memburukkan keadaan," katanya.

Sebelum Gan digugurkan sebagai calon, beliau memberitahu sidang akhbar bahawa dirinya menjadi sasaran surat layang yang menuduhnya menyalahgunakan peruntukan untuk kawasannya.

Gan menafikan dakwaan itu dan berjanji untuk menjawap segala pertuduhan selepas pilihan raya.

11.45am : Marang, Terengganu - Keputusan anak kedua bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz mewakili HARAPAN untuk bertanding di DUN Chempaka tidak memberi kesan besar kepada PAS untuk terus mentadbir Kelantan, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya tak ada maklumat, maklumat awalnya yang saya dapat tidak begitu (tidak bertanding) tapi saya tak tahu yang terkini, nanti dulu kita tunggu maklumat yang betul,

“(Jika benar Nik Omar) bertanding ia tidak akan jejaskan sokongan PAS di Kelantan, ia dilihat lebih kepada undi protes yang kecil dan sedikit serta tidak menjejaskan PAS,” katanya.

Tian Chua hilang kelayakan bertanding

11.25 pagi: Batu, Wilayah Persekutuan - Naib Presiden PKR Tian Chua hilang kelayakan daripada bertanding kerusi Parlimen Batu selepas pegawai pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Laporan media mendakwa ini disebabkan oleh kes mahkamah sebelumnya.

11.21am: Rantau, Negeri Sembilan - Calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding. Calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon.

Dia dikatakan tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas.

11.15am: Wangsa Maju - Setelah proses yang lama, calon PKR Tan Yee Kew, yang lupa membawa MyKad, kini menghela nafas lega.

Pegawai pengurus pilihan raya mengesahkan bahawa beliau akan dibenarkan bertanding di Wangsa Maju.

Beliau diumumkan sebagai calon PKR bersama dengan calon BN, Yew Teong Look dan calon PAS, Razali Tumiran.

10.47am: Shah Alam, Selangor - Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Zahrain Mohd Saad mengumumkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan PAS untuk kerusi Parlimen Shah Alam serta kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik dan Batu Tiga.

Di Shah Alam, calon HARAPAN Khalid Samad mempertahankan kerusinya dan akan ditentang oleh calon BN Datuk Azhari Shaari dan calon PAS Mohd Zuhdi Marzuki.

Bagi DUN Kota Anggerik, BN diwakili Jumaeyah Masdi, menentang calon PAS, Ahmad Dasuki Abdul Rani dan HARAPAN diwakili Mohd Najwan Halimi.

Bagi DUN Batu Tiga, BN diwakili Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop akan menentang penyandang, Rodziah Ismail dan calon PAS, Abdul Halim Omar.

Di luar dewan, penyokong parti masing-masing berselawat, memukul kompang dan ada pula yang mendengar ceramah secara spontan.

10.36am: Kuala Selangor, Selangor - Calon HARAPAN untuk kerusi DUN Bukit Melawati Sivamalar Ganapathy digantikan dengan Jawariyah Zulkifli.

Ini disahkan oleh Pengarah Strategik AMANAH Dr Dzulkifli Ahmad yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Selangor.

"Kami ada masalah tetapi selepas membuat beberapa panggilan Jawariyah diletakkan sebagai calon," katanya kepada Malaysiakini.

Sivamalar, yang berasal dari Pahang, dikatakan gagal menukar alamat di MyKad dan oleh itu tidak boleh bertanding di kerusi di Selangor.

10.30am: Gombak, Selangor - Badrul Hisam Md Zin, 46, seorang peniaga jagung yang kemudiannya menjadi pemaju berkata beliau bertanding sebagai calon Bebas di Sungai Tua kerana mahu membantu golongan muda mencapai kejayaan.

Dia kecewa kerajaan BN gagal memenuhi janji-janjinya.

10.15 pagi: Bukit Bendera, Pulau Pinang - Selepas penamaan calon ditutup. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersalaman dengan pencabarnya, Teng Chang Yeow dari BN.

Lim kemudian membidas pengerusi SPR kerana membenarkan pengarah Pulau Pinang SPR mengadakan sidang akhbar bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman semalam.

"Saya tidak menyalahkan pegawai itu tetapi hanya mempersoalkan pengerusi SPR. SPR juga harus menjemput kami. Kamu bukan sahaja perlu berlaku adil dan bebas tetapi juga perlu dilihat sebagai adil dan bebas.

"Zainal masih ketua Umno di Pulau Pinang, walaupun beliau tidak bertanding dalam pilihan raya ini tetapi beliau masih aktif berkempen untuk calon lain," katanya.

10.11am - Bagan Datuk, Perak - Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin tidak hadir di pusat penamaan calon.

Calon BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan ini kerana lelaki itu diisytihar bankrap oleh Jabatan Insolvensi.

“Saya dimaklumkan bahawa Ibrahim tidak dapat bertanding sebab mengalami bankrap.

“Saya alu-alukan kedatangannya ke sini tapi dia ada masalah dan itu bukan tanggungjawab kita,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

10.10am: Kuala Lumpur - Peguam BERSATU Rafique Rashid Ali memberitahu Malaysiakini bahawa calon HARAPAN dijangka memfailkan bantahan di seluruh negara berhubung ketidak-sahihan Umno.

Justeru, katanya, calon mereka adalah haram dan oleh itu Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berfungsi sebagai pengerusi BN yang adalah komponen utama BN.

"Sekiranya Umno adalah haram, maka segala struktur akan runtuh. BN didaftarkan sebagai gabungan 13 parti," katanya.

10 pagi: Batu Pahat, Johor - Tempoh pencalonan berakhir, dan Puad Zarkashi tidak bertanding.

Hanya calon BN, Haliza Abdullah, calon PKR Rashid Hasnon dan calon PAS Mahfodz Mohamed yang telah mengemukakan kertas pencalonan mereka.

Penyokong BN menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" selepas pencalonan ditutup.

9.55 petang: Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur - Calon BN Adnan Abu Seman lega selepas berjaya menyelesaikan masalah dokumennya.

Menurut Berita Harian, Adnan lupa melampirkan watikah pelantikan BN bersama kertas pencalonannya.

9.50am: Seremban, Negeri Sembilan - Calon BN Datuk Chong Sin Woon menganggap hasrat atau impian hari jadi lawannya, Anthony Loke untuk menukar kerajaan sebagai "satu mimpi".

"Ini impiannya, mimpinya tetap akan menjadi mimpi, dia hanya boleh bermimpi," katanya kepada pemberita.

Walau bagaimanapun, Chong turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada Loke, dan berharap beliau sentiasa sihat.

Selain kerusi Parlimen Seremban, Loke akan juga bertanding di DUN Chennah.

Chennah adalah kira-kira 50km dari pusat bandar Seremban.

Puad Zarkashi tidak kelihatan

9.40am: Batu Pahat, Johor - Masih tidak ada tanda-tanad Ketua Umno Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi di pusat penamaan calon. Hanya tinggal 20 minit sebelum tempoh untuk calon-calon menyerahkan borang mereka.

Percubaan untuk menghubungi Puad tidak berjaya. BN, HARAPAN dan PAS telah mengemukakan kertas pencalonan mereka.

Selepas digugurkan, timbul spekulasi bahawa Puad akan bertanding sebagai calon Bebas.

9.35 pagi - Kubang Pasu, Kedah - Calon HARAPAN bagi DUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini meninggalkan pusat penamaan calon Kubang Pasu.

Beliau sedang dalam perjalanan ke pusat penamaancalon Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu untuk mengemukakan pencalonannya untuk bertanding kerusi parlimen di sana.

Beliau bersalaman dengan rakan-rakan dari BN dan PAS sebelum berlepas.

Calon PKR lupa bawa MyKad, tak dibenarkan masuk

9.35 pagi: Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan - Calon PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew terlupa membawa MyKad dan tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Sementara itu, calon PAS, Razali Tumirin dan Yew Teong Look, BN, yang mempunyai kad pengenalan bersama mereka, dibenarkan memasuki dewan untuk mengemukakan kertas pencalonan mereka.

Calon BN Bandar Tun Razak hadapi masalah dokumen

9.30 pagi: Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur - Calon BN Adnan Seman menghadapi masalah dengan dokumen pencalonannya, lapor BFM.

"Calon BN Adenan Seman nampaknya menghadapi beberapa isu dengan dokumennya semasa mengemukakannya.

"(Dia) kelihatan bimbang dan bercakap di telefon selama lebih dari 10 minit," petik laporan itu.

9.10am: Hang Tuah Jaya, Melaka - Calon BN untuk Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam bersama dengan calon DUN BN adalah yang pertama memasuki pusat penamaan calon.

Mereka diikuti calon-calon PAS, termasuk calon Hang Tuah Jaya, Khalid Kassim.

Yang terakhir masuk adalah calon HARAPAN, Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, di luar pusat penamaan calon meraiah dengan gelagat penyokong dari ketiga-tiga parti.

9.05 pagi: Bukit Mertajam, Pulau Pinang - Bendera PKR mengiringi Nurul Izzah Anwar ke pusat penamaan calon. Calon PKR Seberang Jaya, Dr Afif Baharuddin tiba bersama isteri dan anaknya.

Terdapat kekecohan kecil apabila penyokong menolak dan berasakan di hadangan polis.

9.00pagi: Chempaka, Kelantan - Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiba di pusat penamaan calon, dan ia dilihat sebagai mungkin mengesahkan desas-desus bahawa dia akan bertanding mewakili AMANAH.

Nik Omar datang bersama calon AMANAH bagi Pengkalan Chepa Mohamad Ibrahim, calon Panchor Zulhazmi Hassan dan kira-kira 100 penyokong.

Manakala calon parti itu bagi DUN Kijang belum tiba.

Chempaka, Panchor dan Kijang terletak dalam kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.

8.45pagi: Bukit Mertajam - Calon BN tiba dengan diketuai oleh Calon kerusi Permatang Pauh Mohd Zaidi. Zaidi menyapa penyokong PAS dengan berkata: "Jangan bagi kat dia."

Penyokong BN, menyanyikan lagi patriotik "Barisan Kita", sambil membawa kain rentang putih, yang bertulis "DEMI" Permatang Pauh dalam huruf besar.

'Bersama ke Syurga'

8.42pagi: Shah Alam - Lebih 200 pendukung PAS mengiringi calon parti itu bagi Parlimen Shah Alam, Dr Zuhdi Marzuki, DUN Kota Anggerik Ahmad Dusuki Abdul Rani dan DUN Batu Tiga untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.

Salah satu baju-T dengan gambar Ahmad Dusuki di bahagian depan bertulis "Bersama Ke Syurga."

8.40pagi: Batu Pahat Johor - Lebih dari 200 BN penyokong BN dan sekitar 100 penyokong HARAPAN tiba di Pejabat Daerah Batu Pahat yang menjadi pusat penamaan calon.

Kedua belah penyokong dipisahkan oleh benteng dan kawat berduri.

Kedengaran laungan dari sebelah penyokong HARAPAN "dedak" dan "tangkap Najib".

Penyokong BN membalas dengan laungan "reformasi hancur", "pilih biru" dan menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita".

Juga kelihatan kumpulan penyokong PAS sekitar 50 orang.

8.31pagi: Seremban, Negeri Sembilan - Sekitar 150 pendukung BN, kebanyakan kaum Cina, berada di depan Pejabat Pendidikan Negeri, 100 meter dari pusat nominasi.

Mereka termasuk tiga calon MCA - Lim Kok Kean (Lobak), Leaw Kok Chan (Nilai), Sio Koi Voon (Temiang).

Manakala  Mazalan Maarop (Lenggeng), Abu Ubaidah Redza (Ampangan), Syamsul Amri Ismail (Sikamat) belum kelihatan.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon, yang akan bertanding di Seremban, juga belum tiba.

Manakala DAP menggerakkan konvoi 50 kereta mengeliling bandar.

Papagomo tarik diri

8.30pagi: Kuala Lumpur - Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenal sebagai Papagomo, tidak jadi bertanding di kerusi parlemen Pandan.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, katanya, dia tidak ikut bertanding untuk memberi laluan kepada MCA.

8.25pagi: Hang Tuah Jaya, Malaka - Calon BN untuk Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, tiba di pusat penamaan calon.

Mohd Ali menyapa para penyokong dan ramai yang berebut untuk bergambar dengannya.

Ini adalah pertandingan kali keduanya di Hang Tuah Jaya, yang sebelumnya dikenali sebagai parlemen Bukit Katil.

Ia juga dijangka pertembungan keduanya dengan penyandang, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin di kerusi ini.

'Ini kalilah, ubah' di Teluk intan

8.22pagi: Teluk Intan - Calon DAP di Teluk Intan calon Nga Kor Ming bersama 100 penyokong tiba di Padang Bandaran, di depan pusat penamaan calon di Dewan Bandaran Teluk Intan.

Dengan mengenakan baju-T putih dan memegang bendera PKR, mereka melaungkan, "Ini kalilah, ubah," ketika mereka berarak ke Padang Bandaran.

8.20pag:  Lembah Pantai - Para penyokong parti mula membanjiri kawasan pusat penamaan calon di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya.

Kesemua parti- BN, PKR dan PAS - yang bertanding di Lembah Pantai telah mengarahkan semua penyokong mereka berkumpul seawal jam 7.30 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Bagi penyokong BN mereka berkumpul di kawasan berhampiran kondominium Serai di Jalan Medang Serai iaitu 650 meter dari pusat penamaan calon, penyokong PAS di stesen MRT Bandar Damansara (1 kilometer) manakala PKR di kondominium Trivoli Villa (450 meter).

PKR memenangi parlimen Lembah Pantai selama dua penggal berturut-turut apabila pada kali pertama, Naib Presiden PKR yang juga anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar berjaya mengalahkan Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pada 2008 dengan majoriti sebanyak 2,895.

Pada pilihan raya umum ke-13 pula, Nurul sekali lagi kekal di kerusi Lembah Pantai dengan mendapat majoriti 1,847 mengalahkan Ketua Umno bahagian Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Pada pilihan raya umum ke-14, Raja Nong Chik sekali lagi membuat penampilan namun tidak bagi Nurul apabila beliau berpindah dan diangka dicalonkan di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kerusi Nurul digantikan dengan Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ketua AMK cabang Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Pada kali ini juga, selepas keluar dari Pakatan Rakyat, PAS bertanding atas tiket sendiri dengan menampilkan calon yang merupakan seorang arkitek landskap, Fauzi Abu Bakar.

8.20pagi: Padang Polo, Penang Caring Society - Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan sekitar 300 penyokong berkumpul di Padang Polo itu di kawasan pilihan raya Bukit Bendera.

Antara penyokong itu termasuk anggota Wanita Umno yang datang menaiki bas sekolah.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim dan pemimpin veteran bahagian Umno Datuk Ahmad Ismail, turut kelihatan.

Teng akan bertanding di DUN Tanjung Bungah dalam kawasan parlemen Bukit Bendera. Ia dijangka menyaksikan pertarungan banyak penjuru tetapi calon utamanya dijangka calon DAP Zairil Khir Johari, yang bertanding di bawah logo PKR.

8.18pagi - Marang, Terengganu - Lebih 2,000 penyokong PAS telah berkumpul seawal jam 7.00 pagi di Masjid Kijing, Marang untuk berarak ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Marang, Terengganu.

Malah difahamkan perarakan itu akan turut disertai oleh penyandang kerusi parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga presiden parti Islam itu.

Abdul Hadi akan berdepan calon lawan daripada BN, Mohamad Nor Endot dan AMANAH, Dr Zarawi Sulong.

Manakala disebelah pihak lawan pula iaitu BN pula penyokong parti itu telah berada di seawal jam 7.30 pagi di Pejabat Umno Bahagian Marang berdekatan pusat penamaan calon.

PRU14 bagi bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurang tiga penjuru bagi kesemua kerusi DUN dan Parlimen.

8.16pagi: Wangsa Maju, Kuala Lumpur - Sekumpulan 350 berkumpul di tempat parkir di sebelah pejabat KWSP.

Yew Teong Look, calon MCA, memberitahu wartawan bahawa dia telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Mohd Shafei Abdullah, ketua Umno bahagian Wangsa Maju Umno, yang bersetuju untuk menurunkan 1.000 penyokong hari ini.

8.10pagi: Institut Kemahiran Belia, Bukit Mertajam - Penyokong PAS tiba di pusat penamaan calon itu. Calon mereka yang berpakaian warna hijau tiba bersama para penyokong mereka sambil membawa bendera parti itu serta melaungkan "Allahu Akhbar".

8.00 pagi: Langkawi - Seramai 300 penyokong BN berkumpul kira-kira 500 meter dari Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi hari ini.

Kesemua mereka memakai baju biru dan membawa bendera Umno. Selain itu turut kelihatan penyokong bebas yang memakai baju merah lambang pokok.

Langkawi merupakan kerusi panas yang menampilkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berhadapan dengan Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad (PAS).

Penyokong dari pelbagai parti tersebut dijangka akan berarak ke pusat penamaan calon tanda solidariti kepada calon-calon.

turut juga kelihatan anggota polis yang membuat sekatan dan mengawal keadaan.

Pusat penamaan calon akan dibuka jam 9 pagi hingga 10 pagi.

7.40pagi: Bukit Antarabangsa, Selangor - Menurut Berita Harian, selebriti kontroversial Azwan Ali berada di pusat penamaan calon sekitarjam  7.15 pagi. Dia bertarung di kerusi Bukit Antarabangsa menentang abangnya, Menteri Besar sementara Selangor, Azmin Ali.

7.30pagi Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam - Bendera dari beberapa parti - BN, PKR, PAS dan PRM - membarisi jalan menuju ke pusat nominasi.

Pusat penamaan calon dibuka dari jam 9 pagi sampai jam 10. Para calon untuk kerusi:

P44 - Permatang Pauh
BN - Mohd Zaidi Mohd Said
PH - Nurul Izzah Anwar
PAS - Ust. Afnan Taib Azamudeen

N10 - Seberang Jaya
BN - Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin
PH - Dr Afif Bahardin
PAS - Ahmad Rafie A Rashid

N11 - Permatang Pasir
BN - Anuar Faisal Yahaya
PH - Muhammad Faiz Fadzil
PAS - Muhammad Fauzi Yusof

N12 Penanti
BN - Suhaimi Sabudin
PH - Norlela Ariffin
PAS - Fawwaz Mohd Jan

7.25pagi: Kubang Pasu, Kedah - Sekumpulan sekitar 50 penyokong Pakatan Harapan berkumpul di luar SJK (T) Ladang Paya Kamunting, tidak jauh dari Pejabat Daerah Kubang Pasu yang menjadi pusat penamaan calon.

Tiga daripada mereka berdiri di atas sebuah lori ntuk mengedar baju-T, dan kenderaan juga membawa bekalan lainnya seperti botol air dan PKR bendera. Mereka dijadual memulakan perarakan pada jam 8 pagi.

Penyandangnya Datuk Mohd Johari Baharum, yang juga timbalan menteri pertahanan sementara, dijadual mempertahankan kerusinya yang turut ditandingi calon PAS Norhafiza Fadzil dan calon BERSATU Amiruddin Hamzah.

Manakala pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, akan bertarung di DUN Jitra menentang penyandangnya dari BN Amiruddin Omar dan calon Zulhazmi Osman.

Cuaca diramalkan cerah di Kedah pagi ini dengan suhu maksimum 33 darjah Celcius.

PRU14 l Penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung hari ini di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi.

Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian dan pengundian awal pada 5 Mei.

Calon-calon akan berkempen selama 11 hari bermula tarikh penamaan calon.

Mengikut daftar pemilih suku tahun keempat 2017 yang diwartakan pada 10 April, jumlah pengundi adalah 14,940,624, dengan jumlah pengundi lelaki 7,383,437 (49.42 peratus) dan pengundi perempuan 7,557, 187 (50.58 peratus).

 

Lihat Komen
ADS